Beliau merupakan pesara MARA bermula 1 April 2023 setelah menamatkan khidmat sebagai Timbalan Pengetua Hal Ehwal Pelajar di Maktab Rendah Sains MARA Tun Ghazali Shafie, Kuala Lipis, Pahang.
Dari sudut akademik, beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti Malaya. Selain itu, beliau turut menamatkan Diploma Tahfiz al-Quran dan Qiraat di Darul Quran JAKIM, Diploma Pendidikan di Maktab Perguruan Kuala Terengganu Batu Rakit (MPKTBR), serta pernah menyambung pengajian dalam bidang Sains Halal di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai.
Pada tahun 2015, beliau dihantar oleh pihak MARA mengikuti Kursus Pengurusan Dakwah dan Pengendalian Fatwa di Universiti al-Azhar dan Darul Ifta’, Mesir selama tiga bulan. Sepanjang berada di sana, beliau berpeluang menimba ilmu dengan para ulama tersohor dalam bidang al-Quran dan Hadith di sekitar Kaherah serta ulama al-Azhar yang banyak memberi dorongan kepada beliau untuk terus menyumbang ilmu kepada masyarakat.
Beliau juga merupakan penulis beberapa buah karya, antaranya Dairi Murid Tua (2016), Dairi Haramain (2017), Diari Rehlah Anak Pak Lah (Mei 2018), Tour De Quran (Mei 2021), serta Terjemahan Kitab At-Tibyan oleh Imam an-Nawawi (Disember 2021).
Selain aktif berceramah di pelbagai lokasi, beliau turut menjadi penceramah tetap di rancangan televisyen seperti TV Al-Hijrah, Tanyalah Ustaz (TV3), Nasi Lemak Kopi O (TV9) dan Kooliah101 (Kool 101).
Dari segi kepimpinan kemasyarakatan, beliau pernah memegang beberapa jawatan antaranya Yang Dipertua PIBG SK Pelindung Kuantan (12 tahun), Pengerusi Musolla Ar-Raudhah, Pengerusi KAFA Al-Muhammadi dan Imam Pertama Masjid Pelindung Utama, Kuantan.
Beliau juga berpengalaman luas sebagai Pembimbing Umrah sejak tahun 2005 bersama agensi seperti Andalusia Travel (cawangan Pahang), Ash-Har Travel, Al-Quds Travel, Simply Umrah, Madini Travel dan The Umrah Maqbulah Travel.
Selepas bersara, beliau kini menumpukan sepenuh perhatian kepada pembangunan Masjid Ar-Raudhah dan Maahad Ar-Raudhah di Pelindung, Kuantan.
Diari Murid Tua
Diari Haramain
Diari Rehlah Anak Pak Lah
Tour De Quran
Terjemahan Kitab At-Tibyan